|
Kreativiti fesyen coklat

BAGAIMANA rasanya apabila keseluruhan badan kita disaluti coklat? Pasti menyeronokkan!
KEHADIRAN bulan Februari secara automatik meniupkan perasaan romantik dan kasih sayang. Apatah lagi dengan kemunculan tarikh 14 Februari yang bakal menjelang tidak lama lagi.

|
|
UNIK. Tanduk kerbau yang diperbuat daripada coklat gelap.
|
Para pengusaha kad-kad ucapan, bunga dan anak patung bagaikan tidak menang tangan memandangkan produk tersebut antara item popular untuk dihadiahkan kepada si kekasih. Namun begitu, sedarkah anda bahawa coklat juga memainkan peranan dalam menghidupkan suasana kasih sayang.
Sebelum tibanya detik manis yang dinanti-nantikan itu,Rentak Fesyen kali ini memaparkan keistimewaan dan tarikan coklat. Ia bukan sekadar dijadikan pengikat kasih malah mampu menceriakan kehidupan orang ramai.
Lihat saja kegembiraan yang berlangsung di Taman Tema Coklat di Beijing, China baru-baru ini.
Rata-rata pengunjung yang hadir khususnya kanak-kanak bersorak keriangan. Pentas taman tema itu telah disajikan dengan pertunjukan fesyen yang berasaskan coklat.
Bayangkan kepingan coklat yang lazimnya mudah larut dalam mulut direka dengan kreatif menjadi skirt kembang, sarung tangan, baju dan aksesor. Barangkali bagi penggemar coklat, belum sempat ia digayakan, coklat itu sudah 'selamat' dinikmati!
|