|
Godaan solekan rona bunga
Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my
Kebiasaannya kita hanya mengoles wajah dengan solekan nipis tatkala berjalan-jalan dengan kekasih atau suami pada hari-hari biasa. Pada hari istimewa 14 Februari,apa kata berikan kejutan kepada yang tersayang dengan solekan istimewa.

"MEMAHAMI asas solekan wajah bukanlah sesuatu proses membebankan. Dalam masa 10 minit sahaja, anda sudah mampu merias muka dan mendapat hasil solekan yang manis. Apa yang penting, sebelum menyolek pastikan kelengkapan dan alat kosmetik sudah disediakan.
"Jika sebelum ini anda hanya mengaplikasikan solekan nipis ke kuliah, bersantai mahupun ke pejabat, tidak salah sekiranya sempena sambutan hari kasih sayang ini kita berdandan ekstra. Ia menggembirakan hati sang kekasih dan rakan-rakan yang diraikan bersama," ujar jurumekap bebas, Vie Xenddria sambil mewarnakan kelopak mata model dengan pembayang mata rona merah hati.
Petang itu kami sengaja membincangkan topik merias wajah sempena Hari Kekasih. Tarikh 14 Februari ini pasti ditunggu-tunggu oleh pasangan suami isteri, pasangan bercinta mahupun sahabat karib yang mahu menghabiskan waktu dalam elemen romantik dan kasih sayang.

TATA rias dan penampilan menawan mengambil inspirasi warna bunga akan kelihatan ceria dalam foto yang dirakam.
Semestinya setiap detik pada hari istimewa itu akan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik yang mampu meninggalkan momen manis. Menikmati hidangan makan malam, aiskrim atau menonton wayang adalah antara antara acara yang memupuk kemesraan.
Tentu semua itu bakal tercatat dan dikenang dalam kamus peribadi pasangan itu sendiri. Bukan setakat catitan diari, aksi dan keletah pasangan serta sahabat yang ketika itu sedang berada dalam mood gembira pasti hendak dirakamkan, baik dengan kamera ataupun kamera video.
"Boleh dikatakan pada hari ini setiap pergerakan dan aksi kita rakamkan menerusi dua gajet itu. Siapa nak melepaskan detik istimewa bersama insan tersayang begitu sahaja, bukan?

|
|
SEMEMANGNYA warna ungu menyuntik mood ceria dan berkuasa menyerlahkan penampilan anggun. Ingin hasil yang menarik, gabungkan pembayang mata ungu rona gelap dan lembut. Sebagai pelengkap, berikan sedikit sentuhan pembayang mata nuansa hitam.
|
"Namun, agak merugikan apabila foto yang sudah diambil dari sudut yang cantik 'dijejaskan' dengan penampilan kita yang kurang segar. Sebab itu, saya ingin tekankan betapa pentingnya solekan dan gaya menawan sebelum keluar rumah. Lebih-lebih lagi pada Hari Kekasih," tambah Vie.
Dia turut menyatakan bahawa Hari Kekasih akan lebih bermakna sekiranya disambut bersama sahabat handai yang turut bersolek dan menyarungkan persalinan menawan. Hasilnya, foto yang dirakam kelihatan lebih ceria.
Justeru, kepada golongan wanita mahupun remaja yang masih tercari-cari teknik dan warna solekan yang ideal, Vie menyarankan beberapa tip solekan ringkas. Katanya, cuba anda dan rakan-rakan menyolek mengikut warna-warna bunga.
Sebelum itu kalian harus mengunjungi kedai bunga yang berhampiran dan pilih jenis serta warna bunga mengikut cita rasa. Kemudian, lakukan eksperimen solek di kelopak mata, bibir atau pipi mengikut warna bunga yang sudah dipilih itu.

|
|
KEPADA pencinta bunga teluki kuning, pembayang mata warna kuning sesuai digunakan khususnya untuk mereka yang berkulit cerah. Wanita yang berkulit sawo matang pula masih berpeluang tampil dengan nuansa kuning tetapi anda perlu bijak memilih pembayang mata kuning gelap keemasan bersama warna hijau gelap di hujung mata untuk kesan yang lebih dramatik.
|
Sebenarnya, bunga mempunyai nilai keistimewaan tersendiri. Bunga ros merah, misalnya, menjadi kelompok bunga yang popular dan seringkali digunakan dalam industri kecantikan.
Fungsinya bukan sekadar menghasilkan ekstrak harum, malah mengikut petua, kulit muka boleh menjadi lembut dan berseri kalau seseorang mengamalkan rutin menggosok kelopak ros ke wajah.
Oleh itu, jangan mempersia-siakan kehebatan bunga ros. Kepelbagaian warnanya boleh memberikan inspirasi kepada wanita untuk memilih warna solekan menawan.
|